Persekutuan Pengakap Malaysia -Pentadbiran Persekutuan
Kuasa Pentadbiran
Dalam menjangkau usia lebih seratus tahun kepengkapan di Malaysia, Persekutuan Pengakap Malaysia telah melalui beberapa peringkat perubahan kuasa pentadbiran semenjak penubuhannya sehingga tika dan saat ini.
Era penubuhan pergerakan
Pada era awal penubuhannya, pergerakan Pengakap Malaysia hanyalah merupakan satu cawangan daripada Persekutuan Budak-Budak Pengakap Great Britain, dikenali sebagai Persekutuan Budak-budak Pengakap Cawangan Malaya.
Pada ketika itu, telah dilantik seorang yang bertaraf Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara sebagai penyelaras terhadap segala pergerakan kepengakapan, beliau ialah Frank Cooper Sands yang juga dikenali sebagai Bapa Kepengakapan Malaysia.
Era penyusunan pergerakan
Fasa ke dua pergerakan Pengakap bermula selepas Perang Dunia Ke 2 yang tamat pada penghujung tahun 1945.
Pembubaran Kesatuan Malaya dan pembentukan Persekutuan Tanah Melayu pada Januari 1948,telah membebaskan pergerakan Pengakap dari naungan Persekutuan Budak-Budak Pengakap Great Britain.
Persekutuan Budak-budak Pengakap Persekutuan Tanah Melayu tertubuh dan General Sir Gerald Walter Robert Templar telah mengisi tempat sebagai Ketua Pengakap Negara yang pertama bermula dari tahun 1952 sehingga 1954 dan kemudian tempatnya digantikan pula oleh Sir Donald MacGillivary dari tahun 1954 sehingga 1957.
E.M.F. Payne pula mengambil tempat yang dikosongkan oleh Frank Cooper Sands sebagai Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara bermula dari 1948 sehingga 1957.
Era kemerdekaan
Kemerdekaan yang dicapai oleh Persekutuan Malaya pada tahun 1957 telah memberikan kuasa penuh pentadbiran pergerakan Persekutuan kepada tenaga Pengakap warga tempatan.
Dato' Sulaiman bin Abd Rahman telah dilantik sebagai Ketua Pengakap Negara dan dibantu oleh Dato' Mohamad Yusof bin Ahmad bertindak sebagai Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara.
Persekutuan Pengakap Budak-budak Pengakap Malaya telah diterima menjadi ahli penuh Persidangan Pengakap Antarabangsa pada 1 September 1957.
Era pembentukan Malaysia
Kemasukan Sabah, Sarawak dan Singapura kedalam penubuhannya,dengan sendirinya telah mengugurkan taraf Persekutuan Budak-budak Pengakap Sabah, Serawak dan Singapura dari Persekutuan Budak-Budak Pengakap Great Britain.
Pada Ogos 1965, dengan terkeluarnya Singapura dari Malaysia, maka dengan sendirinya Singapura telah terpisah dari Persekutuan Budak-budak Pengakap Persekutuan Tanah Melayu.
Perlu untuk diingat, walaupun pembentukan Malaysia telah menyatukan Sabah dan Sarawak ke dalam Malaysia, namun kuasa pentadbiran pergerakan Persekutuan masih terbahagi kepada tiga:
1.
Ordinance Budak-Budak Pengakap, Negeri-Negeri Tanah Melayu
2.
Ordinance Persekutuan Budak-Budak Pengakap, Sabah
3.
Ordinance Persekutuan Budak-Budak Pengakap, Sarawak
Era penyatuan Pengakap Malaysia
Kuasa pentadbiran Persekutuan hanya dapat disatukan dengan pemerbadanan Persekutuan melalui Akta Parlimen No. 38: Akta (Perbadanan) Persekutuan Budak-Budak Pengakap Malaysia, 1968.graphic/articlePersekutuan Budak-budak Pengakap Malaysia telah ditubuhkan untuk menggantikan Persekutuan Budak-budak Pengakap Persekutuan Tanah Melayu.
Policy Organisation Rules (perlu dibaca bersama-sama dengan Akta Parlimen No. 38: Akta (Perbadanan) Persekutuan Budak-Budak Pengakap Malaysia, 1968) telah dirangka sebagai perlembagaan gerak kerja Kepengakapan di Malaysia ketika itu.
Persekutuan pada ketika itu dipimpin oleh Ketua Pengakap Negara Dato' Hj. Sardon bin Jubir dibantu oleh Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara Dato' Syed Esa bin Alwi.